AMALKAN TIGA SURAH RESIPI LULUS CEMERLANG PEPERIKSAAN

4 Mac 2016

MELAKA – Tiga surah menjadi amalan buat Elora Nor Azman, 18, ketika menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu yang akhirnya memperolehi keputusan cemerlang 9A.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Infant Jesus Convent itu berkata, setiap malam dia mengamalkan surah al-Mulk, al-Waqiah dan ad-Duhaa selain melakukan solat hajat kerana yakin ia boleh membantu meningkatkan pemahamannya dalam pelajaran.

“Saya banyakkan berdoa dan mengamalkan tiga surah itu. Ditambah pula guru-guru banyak beri tunjuk ajar sehingga saya memperolehi keputusan cemerlang ini,” kata anak kedua dari dua beradik ini.

Menurutnya, walaupun ayahnya bekerja di luar negara sejak lebih enam tahun lalu, dia bersyukur kerana ibunya sentiasa memberi sokongan serta galakan walaupun hanya seorang suri rumah sepenuh masa.

“Walaupun tidak dapat berkongsi kegembiraan dengan ayah tapi saya yakin dengan berkat doanya juga saya berjaya,” katanya yang memaklumkan keputusan SPM kepada ayahnya menerusi telefon bimbit, semalam.

Seorang lagi yang turut mendapat 9 A, Noliyana Ramle, 18, berkata, dia bersyukur dapat membuktikan pelajar sekolah harian juga mampu memperolehi keputusan cemerlang.

Menurutnya, walaupun dia memperolehi keputusan cemerlang 8A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tetapi impiannya untuk belajar ke sekolah berasrama penuh (SBP) tidak kesampaian, lantas hanya menyambung pelajaran di sekolah biasa.

Apa yang penting, katanya, dia tidak perlu malu menuntut ilmu termasuk tidak membezakan pelajar lain biarpun mereka bukan dari kelas pertama.

“Biasanya kelas sains dua dan tiga yang selalu ada kelas tambahan dan tuisyen. Tapi saya pelajar kelas sains satu, tak malu untuk ikut serta kalau cikgu mengadakan kelas tambahan. Saya anggap rakan kelas lain juga kawan saya.

“Yang penting ketepikan rasa malu, jangan kedekut ilmu. Begitu juga masa PMR saya sanggup mengikuti kelas tambahan di High School Melaka biarpun tahu semua pelajar tingkatan tiga adalah lelaki,” katanya yang merupakan anak sulung dari tiga beradik.

Sementara itu, ibu Norliayana, Nurzianah Ahmad, 45, berkata, dia tidak pernah memaksa anaknya belajar dan lebih gemar melihat anak-anaknya mengulang kaji pelajaran secara sukarela tanpa paksaan.

Dalam pada itu, seramai lapan pelajar dari enam sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Keroh, SMK Infant Jesus Convent, Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah, SMK Tinggi Cina Melaka SMK ST Francis dan SMK Tinggi Dt David menerima sijil kecemerlangan daripada Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, semalam.

Kredit: gpsbestari.com

2 thoughts on “AMALKAN TIGA SURAH RESIPI LULUS CEMERLANG PEPERIKSAAN”

  1. Sebagai tambahan kepada 3 surah tadi. Ada satu doa Ustaz Nuruddin ajar untuk doa cemerlang dalam peperiksaan. Dibaca selepas solat subuh. Kalau boleh saya sharekan dlm tulisan rumi.. Allah humma inna nas aluka i’lman nafea, warizkon toyyiba, waamalan mutakaballa ( cari doa ni versi tulisan arab untuk makhraj dan tajwid yang lebih sempurna).

    1. Terima kasih tuan kerana membalas. Alhamdulillah, perkongsian yang menarik. InsyaAllah kami akan kongsikan sharing tuan ini.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *