ANAK MALAS BUAT KERJA SEKOLAH?

MAK-MAK DAH BUNTU ANAK MALAS BUAT KERJA SEKOLAH?
AYAH-AYAH DAH MASUK CAMPUR TAPI MASIH X JALAN?

BERTENANG! 4 cara mak ayah mesti kena cuba.

Memang memenatkan. Mana tidaknya hampir setiap hari harus mengingatkan anak-anak supaya membuat kerja sekolah.

Yang naik risau ialah kita, bukannya anak-anak. Mereka selagi tidak mendengar leteran atau desakan, tidak akan angkat punggung untuk membuat kerja sekolah.

Lagi memeritkan, kitalah yang harus duduk bersama-sama semasa membuat kerja sekolah sehingga kerja-kerja rumah lain tergendala.

Lagi teruk apabila mak ayah yang menyelesaikan dan menyiapkannya kerana anak-anak langsung tidak faham atau mengantuk.

Ini adalah antara rungutan-rungutan yang selalu diluahkan oleh mak ayah yang mempunyai anak-anak bersekolah.

Kadangkala leteran itu telah menjadi ‘lagu merdu’ bagi anak-anak dan bukan lagi arahan yang perlu diikuti dan ditakuti.

Di sini kami kongsikan beberapa panduan yang boleh dilakukan bagi memujuk anak membuat kerja sekolah.

MAK AYAH MESTI BUAT YA!

1. WUJUDKAN RUANG SESUAI UTK BUAT KERJA SEKOLAH

Antara alasan mengapa anak-anak tidak berminat membuat kerja sekolah ialah tidak cukup peralatan. Kadangkala tidak mempunyai rujukan yang sesuai dan tidak tahu bagaimana untuk memulakannya.

Justeru, wujudkan satu tempat atau ruang kerja sekolah atau tempat belajar di rumah. Ruang itu mestilah:

Jauh daripada televisyen atau tempat permainan video.
Lengkapkan dengan meja, kerusi atau komputer bergantung pada umur anak. Pastikan alat tulis lengkap.

2. BUAT JADUAL

Dengan jadual ia boleh membentuk tabiat untuk melaksanakan kerja rumah di kalangan anak-anak. Ini sekali gus mengurangkan tekanan mak ayah. Sebagai mak ayah, buat jadual dan tetapkan waktu yang sesuai setiap hari.

Pastikan bilakah masanya anak mesti melakukan kerja sekolah. Beri kelonggaran kepada mereka untuk menentukan waktu yang sesuai untuk mengulangkaji pelajaran.

Kadangkala bagi mengelak melakukan kerja sekolah, anak akan menyatakan bahawa cikgu tidak beri tugasan pun.

Jadi jika anak tiada kerja sekolah, masa yang telah ditetapkan untuk melakukan kerja sekolah haruslah ditukar dengan waktu untuk belajar pula.

Ingatkan mereka 10 minit sebelum waktu ditetapkan supaya mereka peka. Insya-Allah, selepas beberapa minggu atau bulan, anak anda akan melakukannya sendiri tanpa disuruh.

3. BANTU MENGURUS PERANCANGAN KERJA SEKOLAH

Bantu anak untuk membuat perancangan menguruskan tugasan sekolah.

Sediakan perancangan harian atau kalendar. Galakkan anak untuk membuat nota tarikh hantaran terakhir atau ujian akan datang dalam kalendar. Bantu mereka membuat jadual dan jelaskan bahawa waktu yang terurus tidak akan membebankan mereka.

Selalu ingatkan mereka. Apabila anak telah biasa menggunakan kalendar dan jadual waktu, mereka akan tahu manfaat dan melakukan kerja sekolah itu sendiri.

4. JADIKAN DIRI SEBAGAI CONTOH

Banyak anak-anak merasakan melakukan kerja sekolah adalah satu bebanan dan ia dilakukan secara terpaksa kerana arahan mak ayah.

Akibatnya mereka jadi terganggu apabila tibanya waktu belajar. Untuk atasi masalah ini cuba minimumkan gangguan semasa anak-anak belajar seperti menutup televisyen dan radio.

Mak ayah perlu gunakan waktu ini melakukan kerja-kerja rumah, uruskan pembayaran bil dan sebagainya.

Dengan ini, mak ayah bukan sahaja meredakan gangguan, tetapi menunjukkan kepada anak bahawa anda juga melakukan ‘kerja’ di luar waktu kerja anda.

Kredit: SADATUL MAHIRAN ROSLI

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *